Bagaimana kumpulan Senario terbentuk? Lan Pet Pet sebelum itu solo. Azlee juga solo. Sementara Wahid, Ilya dan Hamdan satu kumpulan. Bagaimana terbentuknya 'chemistry' dalam kumpulan?


Akhir tahun 1995, TV3 memanggil kami menjadi staf TV3. Dalam hal ini, kami harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kak Zah (Azizah Mohamad). Beliau panggil kami duduk sekali, bersembang, bersuai kenal dan berbincang. 

Dari situ, kami buat show di Minggu Setiausaha. Nik Ramzi kata, kami boleh buat satu program. Tan Guat Eyu ambil tugas itu dan membuat program tiga episod pengenalan, iaitu 'Senario Rajin Adik Rajin', 'Umar Asmara', 'Jejak Kasihan' dan kemudian bersambung-sambung terus.




Bagaimana dapat nama 'Senario'?


Idea datang ketika kami duduk berbincang bersama-sama. Shamsul Ghau Ghau cadangkan nama Sinaran Riuh tapi nama itu rasa tidak kena. Kemudian dia sebut senario. Dalam kamus, maknanya suasana. 

Berkat cadangan dia agaknya, setiap kali pergi umrah, saya jumpa dia. Dia tanya, “Pasai apa hang mai umrah kerap sangat?” Saya balas, “Aku rindu.” Katanya, “Aku pun sama. Rindu Masjidil Haram. Rindu Rasulullah SAW.”

Dirakamkan di hadapan audiens? Bagaimana rasanya?


Pertama kali, huh, gugupnya, rasa nak terkencing, nak terberak semua ada! Maklumlah hadapan orang. Dalam latihan, kami saling menyulam idea berdasarkan pengalaman masing-masing, jadilah 'Senario'. Ketika itu, orang tidak kenal 'Senario'. Orang tahu Lan Pet Pet, Azlee dan lain-lain tapi tidak tahu 'Senario'. 

Sehinggalah akhirnya, orang panggil Apek Senario, Yassin Senario, Azlee Senario, Wahid Senario, hanya saya seorang yang bukan 'Senario'. Orang terus panggil saya Lan Pet Pet. Tak pernah saya dipanggil Lan Senario. Sebabnya, nama Lan Pet Pet sudah bermula sejak dari kampung lagi.

>>>[KLIK DI SINI] Dah 43 Tahun Umur Rozita Che Wan, Cantik Mengalahkan Anak Dara 23 Tahun! Ini Petua Che Ta<<<


intrend 5_1

Ketika Senario menjadi fenomena dan 'top', bagaimana rasanya pertama kali jadi popular, dikenali dan jadi perhatian di mana-mana?


Saya tak tahu anggota 'Senario' yang lain. Saya sendiri selalu berfikir, hidup biar berjasa. Pergi mana-mana pun saya tetap begini. Emak saya selalu kata, “Jangan lupa diri, jangan lupa diri, jangan lupa diri. Buat bagi orang suka. Buat bagi orang ‘gila’ kat hang. Orang nak kata apa pun, katalah. Janji orang suka kat hang, orang happy. Aib orang jangan cerita, duk diam-diam." 

Mak saya orang hebat. Saya seorang sahaja liar. Bukan liar apa, disuruh ke sekolah tak mahu, sudah tua-tua begini baru nak ambil balik apa-apa yang emak dan pak cakap. Arwah pak saya kata, “Hanya orang tertentu saja yang kenai hang. Yang tak kenai hang, akan kata hang gila. Tak apa. Hang maintain saja.”

Kali pertama meraih populariti, terkejut tak?


Pada kami, memang terkejutlah. Kami hanya fikir bahawa kami buat show di hadapan orang. Tetapi semua show itu dirakam dan ditayangkan. Orang menunggu setiap minggu, Sabtu, pukul 4.00 petang. Hal itu sudah jadi semacam kerja bagi saya. Bak lirik lagu 'Senario', “Bayangan gurau, aksi anda jadi paparan.” Kami pegang karakter masing-masing dan tahu jalan cerita, maka itulah jadi top.

>>>[KLIK DI SINI] “Saya Masih Lelaki, Kalau Nak Tengok Saya Sebegini, You Have To Pay For It” — Dee<<<


intrend 4_1

Pernah rasa rimas dan tertekan dengan populariti yang diraih? 

Memang tak senang duduk, ke mana-mana pergi, orang ambil gambar. Pernah suatu ketika, seorang budak kecil datang dan pukul belakang saya dengan kayu. Masa itu, rasa macam nak tumbuk balik. 

Apabila balik berbincang dengan kawan- kawan, “Kenapa budak yang minat kita, pukul kita?” Oh! Saya mengerti, “Orang minat tapi nak pegang tak boleh. Tapi apabila terlalu minat, aku tumbuklah hang sebab hang bagi aku gelak!” 

Banyak anak yang sudah besar, apabila berjumpa saya berkata, “Abang Lan, saya membesar dengan Senario. Banyak ilmu saya dapat.”

Dahulu, banyak orang tolong kami, antaranya Sarjan Jamil, dialah coach kami dan kami ikut sahaja arahannya.

Sukarkah hendak mempertahankan populariti?

Saya tak berfikir hendak glamor. Saya fikir diri saya tidak punya apa-apa. Sebab saya ingat janji dengan mak ketika saya keluar dari rumah untuk ke KL, iaitu saya hanya hendak cari makan. 

Sebelum saya menyertai 'Senario', saya sudah popular di kampung. Di mana-mana sahaja, orang panggil saya Lan Pet Pet. Saya pernah wakafkan basikal saya kepada sesiapa yang hendak guna. Saya ke pekan dan tinggalkan basikal, sesiapa hendak guna, gunalah. Mak saya nampak orang naik basikal saya, dia hairan, “Laa, itu basikal Lan!” 

Memanglah basikal Lan. Lan wakafkan, tapi apabila habis waktu kerja, basikal itu ada di tempatnya. Di kampung dalam hal menolong orang, memang saya suka. Sejak kecil hingga besar, saya memang tidak suka tengok orang berada dalam keadaan stres.




Kenangan tak dapat dilupakan pada zaman kegemilangan 'Senario'?

Sama ada kenangan manis, pahit, 'Senario' kekal atau tidak, saya bersyukur kerana dapat bertemu dalam team 'Senario'. Hingga hari ini, saya tetap ingat. Saya cakap pada emak, “Chek suka kerja sambil berhibur.” 

Emak kata, “Hang pi KL, dapat kut.” Saya anak bongsu. Bukan setakat manja, tetapi emak juga reference saya. Waktu kecil, saya nyaris mati lemas pada waktu senja, sejak itu kalau emak kata apa-apa, saya tidak berani melawan. 

Pergi ke mana-mana pun, saya minta emak tolong doakan. “Mak, tolong doa chek nak pakai kereta. Mak tolong doa chek nak beli rumah. Mak tolong doa chek nak kahwin.” Saya berkahwin pada 2008 dan alhamdulillah sudah lapan tahun.

>>>[KLIK DI SINI] BOCEY: Abam yang Agam, Fad yang ‘Elok’ & Achey yang Macam Petir, Memang ‘WIN’!<<<


Senario terkenal selama berbelas tahun, dengan sitkom, album, filem, juga minuman. Pendek kata, Senario di mana-mana. Menjadi jenama yang besar. Apakah cabaran dalam mengekalkan populariti itu?
Pihak pengurusan TV3 yang maintain. Kami dahulu adalah staf TV3, ada nombor staf, ada SOSCO dan KWSP. Apabila sudah stabil, sudah ada otak, kami jalan ikut cara masing-masing. Kami beritahu kepada TV3, terima kasih kerana cungkil bakat kami, beri kami kerja, hantar kami ke kelas vokal, kelas penampilan, hantar buat umrah dan macam-macam lagi. 

Banyak yang kami belajar, cara bercakap, penampilan, juga pemakanan. Ketika itu semua pembayaran diuruskan oleh TV3. Kami sepakat semuanya. Kami juga ada KPI ketika itu. Sekarang, semuanya kena buat sendiri. Alhamdulillah, sekarang isteri saya uruskan kerjaya seni saya.




Zaman kegemilangan Senario sudah berakhir. Komen?

Kami tidak minta jadi nombor satu dalam Malaysia. Kumpulan 'Senario' pelawak nombor satu di Malaysia; itu orang yang letak. Tetapi lepas dapat title itu, kami kena alert, ke kedai kopi tidak boleh lagi berlawak sembarangan. 

Orang tegur, “Lan, buat lawak sekali.” Saya balas, “Saya minta maaf bang. Saya dalam TV saja, di luar saya jadi biasa saja." 

Respectation! Pergi ke mana-mana, kalau sebut pelawak, perlu ada respectation. Peminat ini kadangkala waktu kita hendak makan pun, dia terjah minta bergambar, saya pun kata, “Bolehlah...” Kalau ikutkan, waktu makan, adalah waktu menghadap rezeki Allah SWT, tapi saya fikir tidak mengapalah sempurnakan hajat orang.




Menjadi seorang pelawak, bermakna privacy sudah tiada. Berbaloikah mengorbankan 'privacy'?


Seperti saya katakan, janji saya dengan emak, saya ke KL semata-mata untuk cari kerja. Di balik semua itu, hidup saya sampailah mati, saya mahu berjasa dengan orang. Arwah pak pernah kata, “Bagus. Sampai hari ini aku tau hang berjasa. Banyak jasa hang buat, hanya orang tertentu yang tau. Apa pun hang 'maintain' diri macam ni.” 

Ustaz juga kata, hidup mesti seimbang, jangan hambat sana sini. Antara diri kita, orang, hidup sendiri, keluarga, masyarakat, makan, kewangan, kesihatan, semua itu kena jaga. 

Saya amat berterima kasih pada Datuk Fadzilah Kamsah dan Ustaz Zawawi Yusoh yang banyak membantu saya. Kata Ustaz Zawawi, “Saya suka cara Lan bercakap. Lan punya cara macam Ustaz Daud Che Ngah. Dahulu dalam program agama RTM, saya suka Ustaz Daud.” Betulkah saya macam Ustaz Daud? Saya tonton YouTube, “Ehhh, yalah!”

Kita ini ramai pemerhati. Saya tidak tahu sama ada cara saya disukai orang atau tidak. Saya minta ampun maaf jika ada mana-mana yang tidak kena. Saya tak sempurna. Saya ucapkan terima kasih kepada media cetak dan elektronik kerana menjadikan 'Senario' kumpulan lawak nombor satu. Memang banyak ilmu yang kita dapat apabila kita berjumpa ramai orang. Ambil ilmu saja, tapi jangan ambil kesempatan. 

Pak pernah pesan, “Jangan ambil kesempatan walaupun hang ada nama. Jangan pi minta sponsor sesuka hati.” 

Saya tak buat begitu, saya tak reti pun. Memang ada yang minta saya jumpa orang yang saya rapat untuk dapatkan tandatangan, dengan janji akan berikan saya RM2 juta. Saya beritahu isteri, kalau saya buat begitu, hubungan saya dengan orang yang saya rapat itu akan habis. 

Saya orang kampung, orang susah, saya tak reti ambil kesempatan. Orang tua kata jangan lupa diri. Apa pun, syukur alhamdulillah. Kita bagi orang puas hati, kita jaga hati orang.

>>>[KLIK DI SINI] “Tutup ‘Air-con’, Bukak Tingkap…” — Kata-kata Akhir Arwah Pak Yus Jambu Sebelum Hembuskan Nafas Terakhir, Al-Fatihah<<<





Apabila berlawak dan mendapat duit, itu sudah jadi kerja dan tanggungjawab. Mungkin ada yang berfikir, sama ada buat lawak elok atau tak, orang bayar juga. Ya, berhenti dari TV3 pun, dapat duit juga. Jadi ada isu ikhlas tak ikhlas di situ. Komen Lan?

Terbaik soalan itu. Lan Pet Pet ketika menghiburkan anak yatim, orang tua-tua, anak cacat, tak pernah mengambil bayaran. Memang orang nak bagi token, tapi saya ambil. Saya hanya fikir, mereka perlukan seseorang untuk menceriakan mereka. 

Kadangkala kita buat bukan untuk duit. Katakan dalam kalangan mereka, ada yang sakit, stres, tension dan mahu berhibur, jadi kita kena alert apa-apa yang mereka mahu. Kita kena tahu show ini jenis apa, untuk siapa, nasihat dan mesej apa yang perlu dimasukkan. 

Sekarang ini, saya banyak dipanggil untuk buat show anjuran badan kerajaan. Dalam masa terdekat, saya terlibat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Saya menyertai MDeC (Multimedia Development Corporation). Saya rasa seronok bekerjasama dengan mereka.

Mereka seperti memungut saya dari tepi jalan untuk menyertai mereka. Banyak aspek multimedia yang saya belajar. Penggunaan WhatsApp, YouTube dan banyak aplikasi lain, sebenarnya banyak membantu menjana pendapatan. Saya rasa seronoknya belajar. Saya tak sekolah tinggi, tapi Allah SWT beri rezeki kepada saya. Syukurlah!




Walaupun bidang lawak dianggap ringan tapi Lan berpeluang berjumpa ramai orang, komen?


Ya, dapat bersalam dengan macam-macam jenis orang. Saya sebenarnya ikut stail bapak saya. Pandai dalam PR (public relations). Abang dan kawan-kawan abang selalu cakap, saya seperti arwah bapak. PR yang buat kita jadi bagus dan terus bagus. Banyak orang mahu menegur kerana cara kita. 

Bapak saya pesara operator Telekom, katanya “Lan, bercakap kena naik. Hati dan mulut kena serentak. Jangan cakap begini tapi hati begitu. Layan peminat kena baik.”

Mak pula kalau duduk saja-saja akan menyuruh saya membaca ayat itu ini. Setiap kali balik kampung, dia suruh pergi berjumpa orang itu ini. Dia bagi banyak nasihat, cara berjalan, naik pentas, intro harus bagi salam dan pelbagai lagi.

>>>[KLIK DI SINI] “Solat Jangan Tinggal, Hormat Orang Tua” — Prinsip Ajai Didik 2 Anak Dara Sampai Ayu Raih 9A SPM<<<





Bagaimana Lan mencari idea setiap kali berlawak?

Selalunya datang spontan. Apa pun harus 'advanced'kan diri. Sesama kita manusia, haruslah ada elemen pembangunan diri. Kita mungkin ingat kita hanya berlawak, tetapi berlawak jangan kosong, harus ada ilmu. Itu yang saya pegang, sejak Datuk Fadzilah beritahu begitu. 

Saya pernah pergi umrah bersama-sama Datuk Fadzilah, dia hairan, “Betulkah Lan jadi mutawif?” Ada jemaah kata, “Kami ingat Lan pandai berlawak di TV saja.” 

Betul seperti kata arwah bapak, hanya orang tertentu sahaja tahu saya ini bagaimana. Terima kasih kepada Ustaz Zawawi. Sejak menyertai kelasnya, Allah SWT buka hati saya. 

Dahulu saya takut nak pergi umrah tapi Allah SWT buka hati saya selepas saya masuk kelasnya. Pelawak atau apa-apa sahaja, harus berilmu dan beri nasihat yang membawa ke arah pembentukan diri. Yang penting, ilmu. Tinggal di dunia ini pun kena cari ilmu. Hidup harus seimbang. Tak boleh serius sangat. Kena selalu positif.



Sekarang ini, Lan mahu berlawak dengan menyelitkan elemen modal pembangunan insan?


Ya, pembinaan modal insan itu yang ingin saya fokuskan sekarang. Saya ikut pesanan ustaz. Tetapi saya bimbang, bolehkah jadi penceramah? Saya beritahu ustaz, saya mengaji Al-Quran pun tak habis. Kata ustaz, “Perlahan-lahanlah, Allah SWT akan buka hati Lan. Sekarang pun Allah SWT sudah buka hati Lan.” 

Ada mak cik menangis berjumpa saya, katanya, “Hang sorang saja yang boleh buat aku ketawa, buat orang kampung hang yang lumpuh berjalan, budak demam hang buat lawak jampi merapu cakap Siam, prung prang prung prang, sihat dia.” Seorang sahabat di Pulau Pinang beritahu, bapa mentuanya yang lumpuh boleh berjalan. Saya pun tak percaya, “Biaq betui?” 

Ya, saya rasa gifted, jadi saya mesti jaga dan tak boleh buat main-main.

Lan Pet Pet dengan identiti bunyi trompetnya, boleh ceritakan sedikit? 

Dengan bunyi trompet itu, saya kaitkan dengan pelbagai aspek. Orang pernah tanya, kenapa saya kurus, hisap dadah ke? Saya jawab, saya bekerja macam komputer, cari bahan bagus, tidur sedikit, banyak rujukan, baca buku, YouTube, Surah Yassin, Surah Al-Baqarah, Surah Al-Kahfi dan sebagainya. 

Orang kata, saya lain daripada yang lain. Saya sejak dulu memang lain. Memang saya pelik dan lain daripada yang lain. Apabila sebut bunyi, saya teringat sesuatu. Saya teringat cerita, Rasulullah SAW pernah bertanya sahabat, percayakah tentang hari kiamat? Abu Bakar As-Siddiq percaya. 

Kiamat itu ada kaitan dengan trompet. Saya terfikir, ini berkaitan tiupan. Kalau ada mana-mana syarikat insurans boleh cover tiupan saya ini, saya sanggup ambil. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti, saya tak boleh buat bunyi ini lagi, boleh tak pihak insurans bayar saya? Maksudnya, kalau saya tak boleh buat bunyi ini lagi, mungkin Allah SWT sudah tarik rezeki yang satu itu? 

Orang mungkin kata, Lan gila-gila tapi di sebalik gila-gila dia, dia ada ilmu atau tidak? Saya belajar ilmu tentang kapal, kapal terbang, sampai orang terkejut. Saya suka tengok National Geographic dan Sejarah. Kalau orang dalam bidang itu mendengar, mereka tahu saya bercakap betul. Apabila jadi role model, bahan yang kita pegang, jangan berhenti. Orang tahu apabila dia bercakap, dia ada fakta dan bukan main- main.

>>>[KLIK DI SINI] Nabil: “Dulu Saya Budak ‘Despatch’, Gaji RM600. Lepas Raja Lawak, Tokojut Den! Tokona Cam Artis, Bia Boto?”<<<





Bila masanya Lan serius?

Masa tidur. Hahahah! Masa tidur, kalau meleleh air liur basi, saya tak tahulah. Saya fikir begini, hidup di dunia, mesti ada guide line. Nak atau tidak? Sesuai atau tidak? Apa pun, life goes on. Everything’s gonna be alright. Dalam hidup, apa perkara yang tidak boleh dibuat? Mesti kata, yes, I can do it! Kalau orang kata tak boleh, saya selalu kata, boleh! Kalau tak boleh, mengapa? Sebab pengalaman atau apa? 

Apa benda yang hang sudah lalui yang buat hang rasa tak boleh? Apa yang sudah dibuat selama hidup 47 tahun (ini usia sayalah) yang buat hang rasa tak boleh? 

Kadangkala apabila saya kata begitu, mereka balas semula, “Betul Lan, hang cakap macam tu buat rasa terhentak hati.” 

Kita tak boleh buat lawak kosong. Kena belajar walaupun bukan bidang kita, walaupun kita hadir sebagai pelawak sahaja. Apabila pihak multimedia ambil saya dan bimbing saya, mereka kata, saya tak pandai ambil kesempatan. Saya kata kepada mereka, “Saya seperti hangpa juga, makhluk bernyawa. Kalau saya buat lawak, orang suka. Tapi ada satu masa yang saya tak tahu... apabila saya mati, ketika mayat saya dimandikan, dikafankan sehingga dibawa ke liang lahad, saya tak tahu adakah ketika itu orang akan terus suka saya.” 

Pernahkah kita terfikir hal ini? Tengok sahaja ketika Allahyarham P. Ramlee meninggal, sampai ke liang lahad orang ikut mengiringi. Masa itu, orang tahu apa-apa yang kita buat sama ada beri kesan atau tidak. Sebab itu hidup saya di dunia, hanya mahu berjasa.




Sekarang pasaran komedian sedang melonjak. ASTRO juga sudah ada banyak saluran komedi. Banyak saluran untuk ketengahkan bakat. Adakah apa-apa yang ada ini sudah okey, patut diperbaiki, atau asal buat sajalah?


Lagi banyak program lawak, lagi saya suka. Pelawak bukan saja berlawak. Contohnya, program 'Ana Tanya Anta Jawab', program itu tak stres. Cuba kita ingat waktu kita sekolah dahulu, kita suka cikgu yang pandai berlawak atau cikgu garang? Tentulah cikgu yang pandai berlawak kerana mesej yang disampaikannya senang masuk. Mesej masuk cepat tetapi jangan lalai! 

Dalam belajar, jangan lalai, sedutlah ilmu betul-betul. Zaman belajar dahulu, saya tak pandai tetapi saya banyak rujukan dan pengalaman. Saya pejam mata, dan buka fail dulu-dulu, ingat semula, pernah tak jumpa orang begini, macam mana nak buat karakter begini, point apa, show siapa, siapa idola, saya gabungkan semua sekali. Kata kunci itu perlu ada dan disusun.

Sebab itu, Lan Pet Pet lain daripada yang lain. Dia unik. Apabila saya cakap begini, bunyinya dah takbur. Hahahah. Ketika makan, jangan terlalu kenyang sampai termuntah. Sama macam lawak, jangan over. Arwah Mamu Maidin pernah pesan, berlawak macam memandu kereta. Ada huruf L, learn dan earn, gabungkan jadi learn. L juga ada tiga, jangan jadi loklaq, lucah dan leceh.

Saya pernah berdoa, suatu hari nanti temukanlah saya dengan David Foster (produser yang telah menaikkan banyak bakat di Hollywood). Ya, air tangan David Foster sangat meletup. Kalau jumpa, saya nak buat dia cayaq. Tahu tak, Michael Buble itu asalnya orang susah, Kenny G tukang kasut, Lan Pet penghibur yang hina – maksud saya pelawak yang tahu pet pet pet sahaja – tetapi kalau berjumpa orang yang betul, pasti akan meletup. Hahahaha. InsyaAllah, tapi saya memang hendak jumpa dia.

>>>[KLIK DI SINI] Jihan Muse: "Pantang Apabila dicabar, Lagi-lagi Apabila dibilang Perempuan Tidak Boleh"<<<





Siapa idola Lan?

Emak bapak saya. Mereka penghibur saya. Guru saya. Pakar motivasi. Pendidik. Dan yang menyusukan saya. Saya tak boleh sebut tentang mereka, saya sensitif. Kerana saya tahu kesusahan mereka dulu.

Tokoh penghibur atau pelawak yang disegani?

Tokoh yang paling saya hormati sekarang adalah Nabi Muhammad SAW. Lan Pet Pet ini tak ada apa-apa pun. Sejak kecil, saya memang sangat meminati bidang ini. Saya juga suka mata pelajaran Sejarah. Saya pulun betul-betul sampai cikgu hairan. Saya kata kepada cikgu, “Sejarah buat kita jadi dewasa. Kalau tak ada sejarah, tak adalah cerita si Tanggang.” 

Ini pesanan saya, sesiapa yang masih ada emak, tolonglah jaga emak. Doa emak itu sempurna. Saya selalu suruh mak saya doa untuk saya. Setiap kali muncul di TV, saya ulang-ulang, “Mak, saya masuk TV!”, “Mak, depa nak makan laksa...”, “Mak, senyum sikit!” 

Pelawak generasi baharu yang buat begitu ialah Abam. Saya usik dia, “Itu macam cara Abang Lan je.” Dia kata, “Saya ambil sikit-sikit Abang Lan.” Pada saya, ambil banyak pun tak mengapa, ini bukan hak saya, hak Allah SWT semua.




Komedi sudah bawa Lan merata-rata?

Syukur, alhamdulillah. Kalau nak cerita, nanti orang tak percaya. 

Mengenali penghibur veteran, apa yang Lan kutip daripada mereka? 

Pernah berbual dengan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, katanya, “Kalau ada P. Ramlee, dia akan suka orang macam awak. Awak lebih kurang macam arwah Wahid Satay, hebat atas pentas.” Kata Allahyarham S.Samsudin pula, “Kamu memang terbaik. Masa kamu masuk (Sinaran), aku kata, kamu akan dapat nombor satu. Kamu nombor satu. Rupa-rupanya dapat nombor dua. Tapi tak apa, kamu menang di mata hati peminat.”

Tan Sri SM Salim pula pernah cakap  kepada abang saya, “Adik hang bagus. Waktu buat show dengan waktu tak buat show, dia sama sahaja. Aku cukup sayang dengan dia.” Saya katakan kepadanya, “Janganlah puji sangat. Nanti saya gelap mata, saya tampaq Tan Sri.” “Takkan hang nak buat begitu pada aku?” “Manalah tahu, takut saya lupa diri, otak saya ni tak berapa betui sangat.” tau, hang bukan macam tu.” 

Arwah Harun Salim Bacik mengatakan saya unik. Begitu juga arwah Din Beramboi, ada beberapa lawak saya yang buat dia ketawa terbahak-bahak. Saya juga suka belajar daripada artis lebih senior seperti Salleh Yaacob.

>>>[KLIK DI SINI] "Masa Kecil Saya Tak Faham Kenapa Susah Sangat Nak Jumpa Mummy..." - AMMAR<<<





Apa lagi tentang dunia hiburan yang Lan ingin kongsikan?


Seorang magician memerlukan latihan. Komedian juga sama tapi komedian tak boleh lakukan lawak sama berulang kali. Komedian spontan. Komedian mesti berilmu. Komedian sejenis art. Tapi kita orang Islam, dalam buat apa-apa sign, dialog dan lain-lain, perlu ciri-ciri Islamik. Mesti ada homework. Kita berkhidmat kepada orang dengan cara terbaik. 

Saya teringat, begitulah arwah bapak saya. Orang datang rumah, kadang-kadang semata-mata mahu minum kopi dengan dia. Apabila saya balik kampung, emak sediakan air kopi sebaldi besar untuk peminat datang bersembang. 

Sampai sekarang, apabila balik kampung, budak-budak tunggu depan rumah. Mereka panggil, “Pak Su Lan, nak tangkap gambaq." Budak luar panggil saya Abang Lan. Jadi, kami tahulah sama ada yang datang itu anak orang luar atau orang situ.

Saya juga masih ingat, ketika menyertai audition di Komtar dahulu, ada seorang kakak ini berkata kepada saya, “Tak lama lagi hang akan jadi popular.” 

Kakak ini ada anak ramai, mungkin tujuh atau lapan orang. Saya tidak tahu di mana dia sekarang, mungkin anak-anaknya pun sudah besar. Saya teringin sekali hendak bertemu dia. 

Masa emak mengandungkan saya, kawannya Bidan Tuk Siah, menyuruh emak letakkan nama Mazlan. Katanya, “Budak ini akan terkenal satu Malaysia.” Jadi, nama itu emak berikan kepada saya. Ketika bantu Ustaz Zawawi membawa jemaah umrah, orang panggil saya Haji Pet Pet. Di dalam bas, apabila siap berpakaian ihram, saya tidak buat lawak. Saya tidak mahu melalaikan orang. Tapi Ustaz Zawawi beritahu, ada jemaah yang letih selepas mengerjakan umrah, apabila melihat saya masuk ke dewan makan, buat mereka bersemangat semula.

Pada saya, yang penting, sebagai penyampai jangan melalaikan. Gelak ketawa hanya sebagai halwa, ubat mengantuk tapi jangan melalaikan.